Friday, October 1, 2010

Ijtimak munajat hadapi peperiksaan



Program 'Ijtimak Munajat Kecemerlangan Pelajar PMR, SPM dan STPM 2010' dimulakan dengan solat hajat berjemaah.


KEPENTINGAN ilmu dalam kehidupan kita di dunia ini memang tidak boleh disangkal. Ilmu mengeluarkan kita daripada kejahilan dan juga kemiskinan. Ilmu juga membolehkan kita mengenal Allah yang menciptakan kita.

Oleh yang demikian, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Negara menganjurkan Program Ijtimak Munajat Kecemerlangan Pelajar PMR, SPM dan STPM 2010 di Dewan Solat Utama, Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai kira-kira 3,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hujung tahun ini hadir.

Mereka terdiri daripada para pelajar yang mewakili 97 sekolah di sekitar ibu negara.

Antara pengisian program adalah solat fardu maghrib dan isyak berjemaah, bacaan Yasin dan tahlil, solat sunat hajat dan doa munajat secara berjemaah.

Turut diadakan adalah ceramah motivasi oleh Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Mohd. Miftah Anuar.

Antara objektif program adalah menyemai tabiat taabudiyah kepada Allah SWT untuk memohon sesuatu keperluan duniawi dan ukhrawi setelah berusaha dan berikhtiar.

Di samping itu, ia bertujuan memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama antara ibu bapa, guru-guru, pelajar, orang awam dan di antara institusi-institusi lain dengan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akhlak pelajar.

Program ini juga adalah kemuncak kepada Majlis Solat Hajat dan bacaan Yassin yang diadakan di sekolah-sekolah pada setiap tahun terutamanya di saat menjelangnya peperiksaan.

Di harap program ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang, berakhlak mulia, berwawasan serta boleh menjadi qudwah hasanah kepada generasi yang akan datang dan boleh memimpin Ummah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan yang juga penaung program, Mohd. Adenan Deraman dalam ucapannya berharap Program tahunan itu akan memberi pedoman serta petunjuk untuk para pelajar.

Pada masa yang sama, ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar, ibu bapa dan guru-guru.

Kata beliau, majlis sebegini adalah antara usaha melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai wihadtul fikrah untuk membina satu masyarakat yang termasuk dalam ungkapan khaira ummah yang boleh dijadikan model dan contoh kepada masyarakat lain dengan menerapkan tema Modal Insan Cemerlang, Minda Kelas Pertama.

"Saya berharap para pelajar akan memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi," tambahnya.

0 comments:

Post a Comment